Bachelor of Muamalat Administration with Honours
batch 2010/2011

Friday, May 27, 2011

Motosikal boleh lipat

Oleh MOHD.RIDZWAN IMAN



JALAN mudah untuk mengelak kesesakan dan membayar tol ialah dengan menggunakan motosikal. Tetapi masalah baru akan timbul pula jika hujan turun dengan lebat.
Maka tentu keadaan akan menjadi bertambah teruk dan pilihan kebanyakan penunggang motosikal di bandar raya Kuala Lumpur adalah berteduh di bawah jejambat atau jambatan.

Ini bukan sahaja akan membuang masa kerana terpaksa berada di situ sampai hujan berhenti tetapi tindakan itu juga boleh mengundang bahaya.

Satu lagi masalah utama penunggang motosikal ialah apabila kenderaan itu rosak atau tayarnya pancit dan anda pula ketika itu sedang berada di tengah-tengah lebuh raya.
Maka kerana tiada pilihan, tentu anda terpaksa menolak motosikal itu berkilometer jauhnya untuk mencari bengkel motosikal terdekat kerana kebiasaannya pengendali lebuh raya hanya membantu kenderaan yang membayar tol.

Jika adapun rakan anda yang mahu menolong, tentu juga sukar kerana mereka tidak pandai membaiki motosikal serta kenderaan mereka tidak boleh digunakan untuk mengangkut motosikal anda ke bengkel.
Ketika itu tentu akan terfikir, alangkah seronoknya jika ada motosikal yang boleh dilipat. Jika hujan atau rosak, masukkan sahaja motosikal itu ke dalam van atau kenderaan pelbagai guna (MPV).

Jika takut hilang atau dirosakkan pula, lipat dan bawa saja motosikal itu ke dalam lif dan simpan di stor pejabat.
Mungkin atas alasan itu, maka seorang pencipta dari Amerika Syarikat (AS), Benjamin Gulak berusaha membangunkan sebuah motosikal elektrik yang boleh lipat mengikut keperluan.

Gulak mendapat idea membangunkan kenderaan boleh lipat ini apabila melihat kesesakan jalan raya dan pencemaran yang teruk di beberapa bandar raya di China, hasil kunjungannya ke negara itu ketika berusia 17 tahun bersama bapanya.

Sejak itu, satu demi satu model Uno dibangunkan yang mengalami pelbagai proses penambahbaikan.
Sehingga kini, iaitu selepas empat tahun, terhasilnya Uno 111 yang lebih stabil dan sedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi melalui syarikatnya sendiri dikenali sebagai BPG Motors di Massachusetts, AS.

Menukar diri

Seperti Transformer, kenderaan Uno III Streetbike atau U3, boleh menukar dirinya daripada mesin unisikal (kenderaan satu tayar) kepada motosikal biasa kepada sebuah apabila penunggang menekan satu butang sahaja.
U3 yang pada mod motosikal biasa bergerak dengan menggunakan tiga tayar, dua di belakang dan satu di hadapan.
Apabila ia bertukar kepada mod unisikal, tayar hadapan akan dilipat masuk ke dalam badan dan seterusnya dua tayar di belakang akan rapat dan menjadi tayar utama kenderaan.

Ketika berada dalam mod unisikal ini, kenderaan ini boleh dibawa ke dalam bangunan termasuk di dalam kawasan pameran seperti Segway. Apabila U3 kembali semula di jalan raya dan mencapai kelajuan tertentu, tayar hadapan akan dikeluarkan semula dan kenderaan ini akan berfungsi seperti motosikal biasa.
Pada mod motosikal, kenderaan ini mampu dipandu dengan kelajuan 56 jam kilometer sejam (km/j). Apabila berada dalam mod Uno (unisikal) pula, ia boleh dipandu dengan kelajuan 24 km/j.
Kenderaan ini boleh dipandu untuk jarak perjalanan sehingga 56 kilometer untuk sekali caj yang mengambil masa antara tiga dan empat jam.
U3 juga merupakan 'transformer' pertama yang pernah dihasilkan dan bersedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi.

"Idea saya ialah untuk membina satu kenderaan kecil yang mampu membelah trafik tetapi pada masa yang sama, ia perlu berkuasa dan berkemampuan seperti kenderaan biasa.
"Produk itu juga seharusnya boleh dibawa ke dalam bangunan dan dicaj di rumah. Masalah skuter elektrik sekarang ialah ia sukar dicaj dan sering dicuri atau dirosakkan apabila diletakkan di tepi jalan," kata Gulak.

Tidak seperti Segway, U3 menggunakan 'gyroscope' (alat pengimbang) untuk mengimbangi kenderaan itu pada kelajuan rendah dan kelajuan tinggi, ia berubah menjadi motosikal yang boleh diseimbangkan dengan mudah.
U3 menggunakan dua tayar di belakang sebagai pengimbangnya.

Menurut Gulak, proses pertukaran antara mod Uno kepada motosikal setakat ini masih belum sempurna kerana masih di peringkat percubaan tetapi beliau yakin ia mampu diperkemaskan lagi sebelum akhir tahun ini.
BPG merancang untuk melancarkan versi pertama U3 seawal tahun depan dan ia telah menerima tempahan melalui laman webnya (bpg-motors.com/store/) dengan bakal pembeli perlu memberikan pendahuluan sebanyak AS$250(RM750).

Syarikat itu merancang untuk mengeluarkan 30 buah motosikal terlebih dahulu dalam masa setahun pertama pengeluaran dengan harga AS$25,000 (RM75,000), sebelum harganya dapat diturunkan kepada kira-kira AS$6,500 (RM19,500) apabila pengeluaran meningkat.
Sebuah lagi motosikal unisikal yang berbentuk hampir sama dengan Uno tetapi tidak boleh berubah ialah Embrio yang direka bentuk oleh Bombardier Inc.

Unisikal elektrik konsep ini mungkin akan menjadi pilihan pengguna 20 tahun lagi dan ia juga menggunakan teknologi gyroskopik untuk mengimbangi dirinya seperti Uno ketika berada dalam mod dua tayar.
Bagaimanapun, Embrio yang disasarkan untuk kegunaan di dalam bangunan atau tujuan rekreasi atau hanya menggunakan satu tayar yang mencerminkan unisikal sebenar seperti yang boleh kita lihat pada unisikal yang digunakan oleh pemain sarkas.

Sememangnya teknologi kenderaan peribadi akan benar-benar berubah dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi dan diharapkan ia mampu benar-benar berada di pasaran dengan harga mampu milik bagi memberi pilihan kepada pengguna di seluruh dunia.


No comments:

Post a Comment