Bachelor of Muamalat Administration with Honours
batch 2010/2011

Saturday, March 5, 2011

Pelabur Australia berminat

Assalammualaikum...
pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada 'guest' yang meluahkan pendapatnya di corcetcotcet box itu...terima kasih sangat...:)
dan saya mintak maaf kerana sudah lama tidak meng 'update' ini blog...
bukan tidak mahu meng 'update' tetapi terdapat beberapa masalah teknikal...
maaf lagi sekali saya mohon ya..

Pelabur Australia berminat


NAJIB Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia pada perbincangan meja bulat dengan tokoh-tokoh perniagaan Australia di Melbourne, semalam. Turut hadir Anifah Aman dan Ketua Pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Jalilah Baba. – AFP


MELBOURNE 4 Mac _ Pelabur-pelabur Australia menunjukkan minat mendalam untuk melabur di Malaysia setelah mereka mendapati Malaysia merupakan pusat tarikan pelaburan menarik dan menguntungkan berikutan banyak perubahan dasar-dasar pelaburan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banyak pelabur asing termasuk dari Australia tidak mengetahui bahawa kerajaan telah melaksanakan banyak perubahan dalam dasar pelaburan dan apabila diberikan maklumat yang jelas mereka menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia.

‘‘Setelah diberi maklumat tentang perubahan dasar-dasar pelaburan dan pelan transformasi ekonomi di Malaysia, pelabur-pelabur Australia mendapati Malaysia merupakan pusat tarikan pelaburan yang menarik. Mereka lalu menyatakan minat mendalam untuk melabur di Malaysia,’’ katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan tiga harinya ke Australia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perbincangan meja bulat dengan pelabur-pelabur utama Australia dan persatuan-persatuan industri dan perdagangan Australia, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan mereka, beberapa syarikat utama Australia menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia dalam bidang perbankan, industri dan minyak di Malaysia.

Menurutnya, sebuah bank tempatan ANZ Banking Group berminat meningkatkan pegangan mereka dalam Kumpulan AmBank (Arab Malaysian Bank) yang kini berjumlah 23 peratus manakala sebuah syarikat aluminium Rio Tinto berminat membuka kilang melebur aluminium di Sarawak.
Sebuah syarikat gas (LNG) di Queensland pula mempelawa Petronas untuk meningkatkan pelaburannya di Queensland.

Petronas kini mempunyai saham berjumlah 20 peratus dalam syarikat itu dan beberapa syarikat lain turut menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia termasuk dalam industri mengeluarkan peralatan perubatan.
Masalahnya, kata Najib ialah maklumat mengenai peluang pelaburan, insentif menarik serta perubahan dasar-dasar tentang pelaburan tidak dikemas kini dan ia menjadi antara punca mengapa pelabur asing termasuk pelabur di Australia tidak nampak kebaikan melabur di Malaysia.

‘‘Misalnya, mereka tidak mengetahui bahawa syarikat pembuatan boleh membuka kilang di Malaysia dengan pemilikan penuh 100 peratus dan mereka diberi pas menetap selama 10 tahun di Malaysia,” tambah beliau.
Najib berkata, ketiadaan maklumat terkini berhubung perubahan dasar-dasar pelaburan yang dilaksanakan oleh kerajaan menyebabkan wujud jurang maklumat yang perlu diatasi jika mahu melihat Malaysia menjadi pusat tarikan pelaburan penting di dunia.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan menjadikan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Australia sebagai platform untuk mengatasi jurang itu supaya rancangan transformasi ekonomi Malaysia dan perubahan dasar-dasar pelaburan dapat diterangkan dalam perjanjian itu.
‘‘Selain itu, kerajaan akan membuka pejabat Konsul Besar Malaysia di Melbourne tidak lama lagi bagi membantu mengatasi masalah jurang maklumat ini supaya pelabur-pelabur Australia boleh mendapat maklumat terkini mengenai dasar pelaburan di Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai FTA, Perdana Menteri berkata, perjanjian FTA dengan Australia malahan dengan negara-negara lain sangat kompleks dan ia mungkin mengambil masa sedikit untuk ditandatangani.
Semalam, Najib semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Julia Gillard membayangkan FTA dengan Australia dapat ditandatangani menjelang mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun depan.

Najib menyifatkan lawatannya ke Australia sebagai berjaya dan menyatakan bahawa Malaysia dan Australia turut menandatangani memorandum persefahaman mengenai pendidikan terutama dalam bidang pendidikan tinggi.

‘‘Saya berpuas hati dengan hasil lawatan ini (ke Australia). Saya lihat hubungan antara pegawai dan secara peribadi adalah sangat baik,” tambah beliau.
Kerajaan berharap untuk melaksanakan kaedah pemindahan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bagi menggalakkan pelajar Australia belajar di Malaysia sekurang-kurangnya selama satu semester, katanya.
‘‘Ini kerana bilangan pelajar Australia yang belajar di Malaysia terlalu kecil kira-kira 100 orang sahaja,” katanya.

Beliau juga melihat Australia sebagai rakan strategik bagi Malaysia, bukan sahaja dalam bidang perdagangan, tetapi juga dalam bidang pendidikan, pertahanan, jenayah antarabangsa, memerangi keganasan dan penyeludupan manusia.

Najib sebelum itu, menerima Ijazah Kehormat Persuratan Undang-undang daripada Universiti Monash di sini. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment