Bachelor of Muamalat Administration with Honours
batch 2010/2011

Saturday, March 5, 2011

Kenaikan harga getah perlu dikawal

Oleh Fairus Kassim

JALALUDDIN Harun (kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Koordinator SEZ, Ogandaga Theophille sambil diperhatikan Hamzah Zainudin (dua dari kiri) dan Magnagna Christian pada majlis Persidangan Peluang Perdagangan Malaysia-Gabon di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Mac – Harga getah asli yang berada di paras tertingginya ketika ini perlu dikawal segera agar ia kekal kompetitif berbanding saingannya, getah tiruan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin hari ini.

Beliau berkata, harga komoditi itu kini tiga kali lebih tinggi berbanding getah tiruan atau sintetik sekali gus memungkinkan pengguna-pengguna industri beralih kepada bahan tiruan.

Sekiranya perkara ini berlaku,Hamzah berkata, permintaan getah asli akan jatuh merudum dan mengambil masa untuk kembali stabil di pasaran.

Keadaan yang berlaku pasti merugikan golongan penoreh yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, kata beliau.

Hamzah berkata, harga getah asli di rantau ini sebaiknya berada di paras RM12 hingga RM15 sekilogram atau 1.5 hingga 1.8 kali ganda berbanding harga getah sintetik.
‘‘Harga yang tinggi memang menguntungkan golongan penoreh tetapi ia juga boleh mengancam pendapatan mereka pada masa depan,’’ kata beliau.

‘‘Lebih baik harganya berada di paras yang sewajarnya agar kedua-dua pihak iaitu industri dan penoreh getah mendapat pulangan yang berpatutan,’’ katanya semasa sidang akhbar selepas Persidangan Peluang Pelaburan Dan Perniagaan Antara Malaysia-Gabon di sini hari ini.
Hamzah berkata, krisis politik yang berlaku di rantau Timur Tengah ketika ini dijangka memberi kesan kepada industri getah asli negara tahun ini.

Katanya, beberapa negara di rantau berkenaan merupakan pembeli utama getah asli Malaysia dan sekiranya keadaan politik mereka terus bergolak permintaan dijangka menurun.

‘‘Selain itu juga, China yang mempunyai simpanan stok getah asli yang banyak dijangka mengeluarkan stoknya tahun ini dan tindakan itu dijangka memberi kesan kepada harga pasaran dunia.

‘’Kerajaan Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Indonesia dan Thailand bagi membincangkan isu ini dan mencari inisiatif terbaik untuk mengawal harga getah dari terus jatuh,’’ jelasnya.
Ketika ditanya sama ada harga purata minyak sawit akan meningkat tahun ini dengan pergolakan yang berlaku di Asia Barat, Hamzah tidak menolak kemungkinan itu boleh berlaku.

Beliau berkata, negara-negara pengeluar minyak kacang soya seperti Amerika Selatan yang menjadi pesaing utama minyak sawit juga dijangka akan meningkatkan pengeluaran mereka.

‘‘Harga purata MSM tahun ini dijangka berada di paras RM3,500 setan metrik,’’ katanya sambil menambah kerajaan telah merangka beberapa langkah bagi mengawal pengeluaran MSM agar tidak melebihi permintaan.
Hamzah berkata, pengeluaran MSM negara dijangka kekal pada paras 17 juta tan metrik untuk tahun ini.

‘‘Sejak 2008, proses penanaman semula giat dilakukan dan hasilnya akan diperoleh pada 2012. Pengeluaran MSM juga dijangka meningkat antara tiga hingga lima peratus untuk tahun berkenaan,’’ tambah beliau.


No comments:

Post a Comment