Bachelor of Muamalat Administration with Honours
batch 2010/2011

Friday, May 27, 2011

Teknologi urus sampah sistematik

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

RUANG pembuangan sampah berpusat di kawasan kediaman bertingkat.


BUSUK, jijik dan kotor merupakan senario yang sering dilihat di kebanyakan pusat pengurusan serta pengendalian sampah di negara ini.

Sesuatu yang agak mendukacitakan kerana apalah erti pembangunan moden dan canggih jika urusan pengendalian sisa domestik dan sampah sarap ini masih tidak dapat dikendalikan secara bersistem.

Bukan menyalahkan mana-mana pihak, tetapi itulah realiti yang berlaku terutamanya di kawasan-kawasan kediaman, pejabat dan juga pusat membeli belah.

Melihat permasalahan itu, ia sebenarnya memberi cabaran besar kepada kerajaan terutama di bahagian pembangunan untuk menyediakan mekanisme dan kaedah mengurus sampah lebih berkesan sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Ini kerana, selagi terdapat kehidupan di muka bumi ini, selagi itu sampah akan terus dihasilkan.

Secara umumnya di Malaysia, kebanyakan urusan pengendalian sampah masih mengaplikasi cara konvensional iaitu menggunakan lori sampah untuk memungut dan mengumpul bahan buangan.

Cara tersebut bukan sahaja melibatkan kos operasi yang tinggi, malah turut menyumbang beberapa masalah seperti tong sampah berbau, bunyi bising, kapasiti terhad, mengambil masa yang lama, merbahaya dan memerlukan ruang laluan lebih besar serta pekerja yang ramai.

Membawa kemudahan pengurusan dan pengumpulan sampah bersistematik, sebuah syarikat kejuruteraan tempatan, AWC Berhad (AWC) memperkenalkan teknologi Sistem Pengurusan Sampah Automatik (STREAM AWCS).
Menerusi cara itu, sampah perbandaran dan domestik akan dibawa menggunakan rangkaian saluran bawah tanah berkelajuan tinggi untuk dikumpulkan dalam tong tertutup.

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan AWC Berhad, Azmir Merican Azmi Merican, inovasi yang dibangunkan syarikatnya mampu melaksanakan kerja-kerja pengurusan sampah secara lebih cepat, senyap, efisien dan mempunyai kadar kebersihan maksimum.

''Pembangunan teknologi ini diintegrasikan ketika proses pembinaan sesebuah bangunan di mana saluran paip diletakkan di bawah tanah.

''Dengan cara ini, sampah-sampah dapat dikumpulkan ke satu pusat pengumpulan secara kerap, tidak dapat dilihat, bersih, tidak diganggu haiwan liar dan tidak berbau. Ia juga menjimatkan tenaga dan ruang.

''Teknologi ini terbahagi kepada dua iaitu sistem graviti dan juga vakum penuh di mana ia sesuai digunakan di kawasan kediaman dan bangunan-bangunan sofistikated seperti lapangan terbang, pejabat dan pusat membeli-belah,'' katanya pada taklimat media mengenai teknologi itu di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Setakat ini, teknologi STREAM AWCS telah digunapakai di beberapa bangunan kediaman dan pejabat di sekitar lembah Klang.

Antaranyai Kondominium Kia Peng di KLCC, bangunan Maju Junction, Kompleks Kediaman Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan.

Meluaskan teknologi berkenaan ke peringkat antarabangsa, AWC turut membawa STREAM AWCS untuk diaplikasikan di beberapa negara seperti Singapura dan juga Abu Dhabi.


Motosikal boleh lipat

Oleh MOHD.RIDZWAN IMAN



JALAN mudah untuk mengelak kesesakan dan membayar tol ialah dengan menggunakan motosikal. Tetapi masalah baru akan timbul pula jika hujan turun dengan lebat.
Maka tentu keadaan akan menjadi bertambah teruk dan pilihan kebanyakan penunggang motosikal di bandar raya Kuala Lumpur adalah berteduh di bawah jejambat atau jambatan.

Ini bukan sahaja akan membuang masa kerana terpaksa berada di situ sampai hujan berhenti tetapi tindakan itu juga boleh mengundang bahaya.

Satu lagi masalah utama penunggang motosikal ialah apabila kenderaan itu rosak atau tayarnya pancit dan anda pula ketika itu sedang berada di tengah-tengah lebuh raya.
Maka kerana tiada pilihan, tentu anda terpaksa menolak motosikal itu berkilometer jauhnya untuk mencari bengkel motosikal terdekat kerana kebiasaannya pengendali lebuh raya hanya membantu kenderaan yang membayar tol.

Jika adapun rakan anda yang mahu menolong, tentu juga sukar kerana mereka tidak pandai membaiki motosikal serta kenderaan mereka tidak boleh digunakan untuk mengangkut motosikal anda ke bengkel.
Ketika itu tentu akan terfikir, alangkah seronoknya jika ada motosikal yang boleh dilipat. Jika hujan atau rosak, masukkan sahaja motosikal itu ke dalam van atau kenderaan pelbagai guna (MPV).

Jika takut hilang atau dirosakkan pula, lipat dan bawa saja motosikal itu ke dalam lif dan simpan di stor pejabat.
Mungkin atas alasan itu, maka seorang pencipta dari Amerika Syarikat (AS), Benjamin Gulak berusaha membangunkan sebuah motosikal elektrik yang boleh lipat mengikut keperluan.

Gulak mendapat idea membangunkan kenderaan boleh lipat ini apabila melihat kesesakan jalan raya dan pencemaran yang teruk di beberapa bandar raya di China, hasil kunjungannya ke negara itu ketika berusia 17 tahun bersama bapanya.

Sejak itu, satu demi satu model Uno dibangunkan yang mengalami pelbagai proses penambahbaikan.
Sehingga kini, iaitu selepas empat tahun, terhasilnya Uno 111 yang lebih stabil dan sedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi melalui syarikatnya sendiri dikenali sebagai BPG Motors di Massachusetts, AS.

Menukar diri

Seperti Transformer, kenderaan Uno III Streetbike atau U3, boleh menukar dirinya daripada mesin unisikal (kenderaan satu tayar) kepada motosikal biasa kepada sebuah apabila penunggang menekan satu butang sahaja.
U3 yang pada mod motosikal biasa bergerak dengan menggunakan tiga tayar, dua di belakang dan satu di hadapan.
Apabila ia bertukar kepada mod unisikal, tayar hadapan akan dilipat masuk ke dalam badan dan seterusnya dua tayar di belakang akan rapat dan menjadi tayar utama kenderaan.

Ketika berada dalam mod unisikal ini, kenderaan ini boleh dibawa ke dalam bangunan termasuk di dalam kawasan pameran seperti Segway. Apabila U3 kembali semula di jalan raya dan mencapai kelajuan tertentu, tayar hadapan akan dikeluarkan semula dan kenderaan ini akan berfungsi seperti motosikal biasa.
Pada mod motosikal, kenderaan ini mampu dipandu dengan kelajuan 56 jam kilometer sejam (km/j). Apabila berada dalam mod Uno (unisikal) pula, ia boleh dipandu dengan kelajuan 24 km/j.
Kenderaan ini boleh dipandu untuk jarak perjalanan sehingga 56 kilometer untuk sekali caj yang mengambil masa antara tiga dan empat jam.
U3 juga merupakan 'transformer' pertama yang pernah dihasilkan dan bersedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi.

"Idea saya ialah untuk membina satu kenderaan kecil yang mampu membelah trafik tetapi pada masa yang sama, ia perlu berkuasa dan berkemampuan seperti kenderaan biasa.
"Produk itu juga seharusnya boleh dibawa ke dalam bangunan dan dicaj di rumah. Masalah skuter elektrik sekarang ialah ia sukar dicaj dan sering dicuri atau dirosakkan apabila diletakkan di tepi jalan," kata Gulak.

Tidak seperti Segway, U3 menggunakan 'gyroscope' (alat pengimbang) untuk mengimbangi kenderaan itu pada kelajuan rendah dan kelajuan tinggi, ia berubah menjadi motosikal yang boleh diseimbangkan dengan mudah.
U3 menggunakan dua tayar di belakang sebagai pengimbangnya.

Menurut Gulak, proses pertukaran antara mod Uno kepada motosikal setakat ini masih belum sempurna kerana masih di peringkat percubaan tetapi beliau yakin ia mampu diperkemaskan lagi sebelum akhir tahun ini.
BPG merancang untuk melancarkan versi pertama U3 seawal tahun depan dan ia telah menerima tempahan melalui laman webnya (bpg-motors.com/store/) dengan bakal pembeli perlu memberikan pendahuluan sebanyak AS$250(RM750).

Syarikat itu merancang untuk mengeluarkan 30 buah motosikal terlebih dahulu dalam masa setahun pertama pengeluaran dengan harga AS$25,000 (RM75,000), sebelum harganya dapat diturunkan kepada kira-kira AS$6,500 (RM19,500) apabila pengeluaran meningkat.
Sebuah lagi motosikal unisikal yang berbentuk hampir sama dengan Uno tetapi tidak boleh berubah ialah Embrio yang direka bentuk oleh Bombardier Inc.

Unisikal elektrik konsep ini mungkin akan menjadi pilihan pengguna 20 tahun lagi dan ia juga menggunakan teknologi gyroskopik untuk mengimbangi dirinya seperti Uno ketika berada dalam mod dua tayar.
Bagaimanapun, Embrio yang disasarkan untuk kegunaan di dalam bangunan atau tujuan rekreasi atau hanya menggunakan satu tayar yang mencerminkan unisikal sebenar seperti yang boleh kita lihat pada unisikal yang digunakan oleh pemain sarkas.

Sememangnya teknologi kenderaan peribadi akan benar-benar berubah dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi dan diharapkan ia mampu benar-benar berada di pasaran dengan harga mampu milik bagi memberi pilihan kepada pengguna di seluruh dunia.


Tuesday, March 15, 2011

Gempa Bumi Dan Tsunami Dalam Al-Quran


Kalau kita cari perkataan gempa bumi dalam Al Quran, perkataan gempa bumi secara tegas dinyatakan sebanyak 4 kali, iaitu pada Surah Al A’raaf (ayat; 78, 91 dan 155) dan Surah Al-Ankabut ayat 37. Dalam Surah Al An’aam ayat 65 kalimat gempa bumi hanya ditemui dalam penjelasan.
Seterusnya kalau dikembangkan lagi dengan perkataan “Bumi bergoncang”, maka akan ditemui sebanyak 4 kali juga, iaitu pada Surah Ar Ra’d ayat 31, Al Waaqi’ah ayat 4, Surah Al Fajr ayat 21 dan Surah Al Zalzalah ayat 1.
Seterusnya dari laporan Integreted Tsunami Database for the Pacific menjelaskan bahawa gempa bumi bumi telah mula tercatat pada tahun 416 sehingga sekarang. Keadaan ini menunjukkan bahawa jauh sebelum itu,Al Quran telah menjelaskan tentang peristiwa gempa bumi.

Secara etimologi,definisi gempa bumi adalah merupakan peristiwa alam, terjadi secara mendadak, kerana pelepasan energi, akibat daripada pergeseran relatif batuan/lempeng tektonik/kerak bumi.
Merujuk kepada definisi tersebut, maka dalam Al Quran dalam Surah Al Zalzalah ayat 1 dan 2, secara jelas dikatakan Apabila bumi digoncangkan dengan goncangannya (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung) nya,
Berkenaan dengan Tsunami pula, sudah pasti perkataan Tsunami tidak akan kita temui dalam Al Quran, kerana tsunami berasal dari bahasa Jepun iaitu (tsu = pelabuhan, nami = gelombang laut), tetapi kalau dihubungkan dengan definisi tsunami itu sendiri adalah sebagai gelombang laut dengan jangka masa panjang yang ditimbulkan oleh gangguan impulsif dari dasar laut, tsunami ini menimbulkan gelombang besar ke kawasan pantai.
Memerhatikan definisi dari tsunami tersebut, maka dalam Al Quran akan ditemui 2 ayat iaitu dalam Surah Al Infithar ayat 3,”dan apabila lautan menjadi meluap” dan Surah At Takwiir ayat 6 “dan apabila laut dipanaskan”. Makna kedua Surah tersebut, adalah menegaskan, dimana laut akan meluap kerana kerana adanya proses pemanasan didasar bumi.
Menurut teori, gangguan implusif adalah seperti gempa bumi tektonik, erupsi volkanik, dan gelongsoran (land slide). Tsunami menyebabkan terjadinya bencana di darat dan dilaut, sebagaimana yang dijelaskan pada Surah Al An’am ayat 63, dimana Allah menanyakan kepada manusia iaitu,
Katakanlah: “Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut?.
Fenomena terjadinya patahan, dan terbentuknya gunung-gunung akibat pergerakan kerak bumi ini dapat ditemui dalam Al Quran pada 1). Surah Ar Ra’du ayat 41
“dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami mendatangkan daerah-daerah, lalu Kami kurangi daerah-daerah itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya? Dan Allah menetapkan hukum (menurut kehendakNya), tidak ada yang dapat menolak ketetapanNya; dan Dia-lah Yang Maha cepat hisabNya”.
2) Surah An Naba ayat 6 dan 7, iaitu
“Bukankah kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak?
Manusia diseru dalam Surah Thaha ayat 81, iaitu
“Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaanKu menimpamu. Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia”.
Pesanan Allah ini selalu diabaikan oleh manusia, sehingga terjadinya sumber daya yang berlebihan, contohnya pengeluaran minyak bumi, gas cairdan sebagainya, sehingga telah menimbulkan kesan kepada generasi berikutnya.
Bukan saja eksploitasi terhadap sumberdaya yang dilakukan oleh manusia, manusia itu sendiri juga telah mengeksploitasi dirinya sendiri, sehingga telah menimbulkan kehidupan yang tidak harmonis antara manusia dengan lingkungan, dan manusia dengan manusia, apalagi manusia dengan Sang Khaliq, seperti yang digambarkan dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 iaitu
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.
Semua bencana ini tidak akan terjadi, apabila semua manusia itu tunduk dan patuh untuk melaksanakan seluruh perintah dan menghentikan semua larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, sebagaimana yang disampaikan pada Surah Al Hadid ayat 22, iaitu “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.
Dari berbagai tinjauan yang disampaikan di atas, terjawablah bahawa gempa bumi bumi dan tsunami merupakan proses dari Allah untuk penyempurnaan ciptaan-Nya. CiptaanNya yang sempurna ini, bukan hanya berlaku kepada bumi, tetapi juga kepada penghuninya.
:

Friday, March 11, 2011

Malaysia turut rasa tempias jika ekonomi Jepun terjejas

11/03/2011 5:53pm


JITRA 11 Mac - Ekonomi negara akan turut terkena tempias sekiranya kedudukan ekonomi Jepun terjejas teruk akibat dilanda bencana gempa bumi kuat tengah hari tadi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Jepun merupakan rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini.

"Apabila berlaku bencana sebegini besar, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara itu dan Malaysia akan rasa tempiasnya.

"Jadi, diharap mereka dapat pulihkan keadaan secepat mungkin agar kesan terhadap ekonomi global dapat dikawal supaya terhad,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu nasib syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sana juga masih belum diketahui termasuk keadaan para pelajar Malaysia di sana. - Bernama

Monday, March 7, 2011

Sejarah mata wang Islam

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

Dirham Dinasti Abbasiyah (Pemerintah : Abdullah Al-Saffah) Kufah 132 Hijrah
Diameter: 23.91 mm.



Duit adalah medium yang penting dalam perniagaan pada hari ini. Sebelum duit diperkenalkan, pelbagai barangan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan sesuatu jenis barangan dan perkhidmatan seperti makanan, buah-buahan dan haiwan dalam sistem yang dikenali sebagai sistem barter.

Sistem ini membolehkan manusia memperolehi pelbagai barangan dan perkhidmatan yang mereka perlukan dalam kehidupan mereka daripada ahli masyarakat yang lain tanpa menggunakan medium yang dipanggil duit.

Sebelum tahun 696 Masihi, masyarakat Arab menghasilkan duit yang mempunyai pengaruh salah satu daripada dua kuasa besar pada abad ketujuh Masihi iaitu Kerajaan Sasanid atau Kerajaan Byzantium.

Mata wang itu digunakan oleh masyarakat Arab sebagai medium mendapatkan barangan dan perkhidmatan dalam urusan harian mereka selama 31 tahun selepas peristiwa hijrah. Kedua-dua pengaruh ini mempunyai gambar pemerintah di atas duit yang dikeluarkan.

Dinasti Umayyah di bawah pemerintahan Khalifah Abd. al-Malik ibn Marwan (685 - 705 Masihi) telah mengambil inisiatif mengeluarkan duit kerajaan Islam bagi menyatukan seluruh umat Islam ketika itu dengan menggunakan ciri-ciri duit Empayar Byzantium.

Maharaja Rom ketika itu merasa tercabar dan tidak mengiktiraf duit yang dikeluarkan oleh Khalifah Abd al-Malik. Khalifah Abd al-Malik menggunakan hiasan figura salah satu maharaja Byzantium pada satu permukaan syilingnya dan motif kaligrafi mengenai tahun ia dibuat pada satu permukaan yang lain.
Dalam sejarah Islam, penghasilan duit syiling dengan menggunakan seni hiasan Islam sepenuhnya bermula pada tahun 696 - 698 Masihi.

Duit ini menggunakan motif kaligrafi kufik di kedua-dua belah permukaan duit syiling yang dihasilkan. Gaya hiasan ini kemudiannya telah digunapakai selama beberapa ratus tahun oleh dinasti Islam yang lain di seluruh dunia Islam.
Pertukaran rekaan duit ini adalah sebagai tindak balas Khalifah Abd al-Malik selepas Maharaja Byzantium mengeluarkan rekaan duit yang sama dengan yang dikeluarkan oleh baginda.

Khalifah Abd al-Malik juga mengeluarkan dekri supaya duit yang dikeluarkan baginda digunakan di dalam wilayah pemerintahan Dinasti Umayyah sepenuhnya. Manakala duit yang dikeluarkan oleh Empayar Byzantium yang terdapat dalam wilayah Dinasti Umayyah telah dikumpulkan dan dileburkan semula bagi pengeluaran duit Dinasti Umayyah. Sesiapa yang ingkar akan dijatuhkan hukuman berat.


Saturday, March 5, 2011

Kenaikan harga getah perlu dikawal

Oleh Fairus Kassim

JALALUDDIN Harun (kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Koordinator SEZ, Ogandaga Theophille sambil diperhatikan Hamzah Zainudin (dua dari kiri) dan Magnagna Christian pada majlis Persidangan Peluang Perdagangan Malaysia-Gabon di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Mac – Harga getah asli yang berada di paras tertingginya ketika ini perlu dikawal segera agar ia kekal kompetitif berbanding saingannya, getah tiruan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin hari ini.

Beliau berkata, harga komoditi itu kini tiga kali lebih tinggi berbanding getah tiruan atau sintetik sekali gus memungkinkan pengguna-pengguna industri beralih kepada bahan tiruan.

Sekiranya perkara ini berlaku,Hamzah berkata, permintaan getah asli akan jatuh merudum dan mengambil masa untuk kembali stabil di pasaran.

Keadaan yang berlaku pasti merugikan golongan penoreh yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, kata beliau.

Hamzah berkata, harga getah asli di rantau ini sebaiknya berada di paras RM12 hingga RM15 sekilogram atau 1.5 hingga 1.8 kali ganda berbanding harga getah sintetik.
‘‘Harga yang tinggi memang menguntungkan golongan penoreh tetapi ia juga boleh mengancam pendapatan mereka pada masa depan,’’ kata beliau.

‘‘Lebih baik harganya berada di paras yang sewajarnya agar kedua-dua pihak iaitu industri dan penoreh getah mendapat pulangan yang berpatutan,’’ katanya semasa sidang akhbar selepas Persidangan Peluang Pelaburan Dan Perniagaan Antara Malaysia-Gabon di sini hari ini.
Hamzah berkata, krisis politik yang berlaku di rantau Timur Tengah ketika ini dijangka memberi kesan kepada industri getah asli negara tahun ini.

Katanya, beberapa negara di rantau berkenaan merupakan pembeli utama getah asli Malaysia dan sekiranya keadaan politik mereka terus bergolak permintaan dijangka menurun.

‘‘Selain itu juga, China yang mempunyai simpanan stok getah asli yang banyak dijangka mengeluarkan stoknya tahun ini dan tindakan itu dijangka memberi kesan kepada harga pasaran dunia.

‘’Kerajaan Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Indonesia dan Thailand bagi membincangkan isu ini dan mencari inisiatif terbaik untuk mengawal harga getah dari terus jatuh,’’ jelasnya.
Ketika ditanya sama ada harga purata minyak sawit akan meningkat tahun ini dengan pergolakan yang berlaku di Asia Barat, Hamzah tidak menolak kemungkinan itu boleh berlaku.

Beliau berkata, negara-negara pengeluar minyak kacang soya seperti Amerika Selatan yang menjadi pesaing utama minyak sawit juga dijangka akan meningkatkan pengeluaran mereka.

‘‘Harga purata MSM tahun ini dijangka berada di paras RM3,500 setan metrik,’’ katanya sambil menambah kerajaan telah merangka beberapa langkah bagi mengawal pengeluaran MSM agar tidak melebihi permintaan.
Hamzah berkata, pengeluaran MSM negara dijangka kekal pada paras 17 juta tan metrik untuk tahun ini.

‘‘Sejak 2008, proses penanaman semula giat dilakukan dan hasilnya akan diperoleh pada 2012. Pengeluaran MSM juga dijangka meningkat antara tiga hingga lima peratus untuk tahun berkenaan,’’ tambah beliau.


Pelabur Australia berminat

Assalammualaikum...
pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada 'guest' yang meluahkan pendapatnya di corcetcotcet box itu...terima kasih sangat...:)
dan saya mintak maaf kerana sudah lama tidak meng 'update' ini blog...
bukan tidak mahu meng 'update' tetapi terdapat beberapa masalah teknikal...
maaf lagi sekali saya mohon ya..

Pelabur Australia berminat


NAJIB Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia pada perbincangan meja bulat dengan tokoh-tokoh perniagaan Australia di Melbourne, semalam. Turut hadir Anifah Aman dan Ketua Pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Jalilah Baba. – AFP


MELBOURNE 4 Mac _ Pelabur-pelabur Australia menunjukkan minat mendalam untuk melabur di Malaysia setelah mereka mendapati Malaysia merupakan pusat tarikan pelaburan menarik dan menguntungkan berikutan banyak perubahan dasar-dasar pelaburan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banyak pelabur asing termasuk dari Australia tidak mengetahui bahawa kerajaan telah melaksanakan banyak perubahan dalam dasar pelaburan dan apabila diberikan maklumat yang jelas mereka menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia.

‘‘Setelah diberi maklumat tentang perubahan dasar-dasar pelaburan dan pelan transformasi ekonomi di Malaysia, pelabur-pelabur Australia mendapati Malaysia merupakan pusat tarikan pelaburan yang menarik. Mereka lalu menyatakan minat mendalam untuk melabur di Malaysia,’’ katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan tiga harinya ke Australia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perbincangan meja bulat dengan pelabur-pelabur utama Australia dan persatuan-persatuan industri dan perdagangan Australia, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan mereka, beberapa syarikat utama Australia menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia dalam bidang perbankan, industri dan minyak di Malaysia.

Menurutnya, sebuah bank tempatan ANZ Banking Group berminat meningkatkan pegangan mereka dalam Kumpulan AmBank (Arab Malaysian Bank) yang kini berjumlah 23 peratus manakala sebuah syarikat aluminium Rio Tinto berminat membuka kilang melebur aluminium di Sarawak.
Sebuah syarikat gas (LNG) di Queensland pula mempelawa Petronas untuk meningkatkan pelaburannya di Queensland.

Petronas kini mempunyai saham berjumlah 20 peratus dalam syarikat itu dan beberapa syarikat lain turut menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia termasuk dalam industri mengeluarkan peralatan perubatan.
Masalahnya, kata Najib ialah maklumat mengenai peluang pelaburan, insentif menarik serta perubahan dasar-dasar tentang pelaburan tidak dikemas kini dan ia menjadi antara punca mengapa pelabur asing termasuk pelabur di Australia tidak nampak kebaikan melabur di Malaysia.

‘‘Misalnya, mereka tidak mengetahui bahawa syarikat pembuatan boleh membuka kilang di Malaysia dengan pemilikan penuh 100 peratus dan mereka diberi pas menetap selama 10 tahun di Malaysia,” tambah beliau.
Najib berkata, ketiadaan maklumat terkini berhubung perubahan dasar-dasar pelaburan yang dilaksanakan oleh kerajaan menyebabkan wujud jurang maklumat yang perlu diatasi jika mahu melihat Malaysia menjadi pusat tarikan pelaburan penting di dunia.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan menjadikan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Australia sebagai platform untuk mengatasi jurang itu supaya rancangan transformasi ekonomi Malaysia dan perubahan dasar-dasar pelaburan dapat diterangkan dalam perjanjian itu.
‘‘Selain itu, kerajaan akan membuka pejabat Konsul Besar Malaysia di Melbourne tidak lama lagi bagi membantu mengatasi masalah jurang maklumat ini supaya pelabur-pelabur Australia boleh mendapat maklumat terkini mengenai dasar pelaburan di Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai FTA, Perdana Menteri berkata, perjanjian FTA dengan Australia malahan dengan negara-negara lain sangat kompleks dan ia mungkin mengambil masa sedikit untuk ditandatangani.
Semalam, Najib semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Julia Gillard membayangkan FTA dengan Australia dapat ditandatangani menjelang mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun depan.

Najib menyifatkan lawatannya ke Australia sebagai berjaya dan menyatakan bahawa Malaysia dan Australia turut menandatangani memorandum persefahaman mengenai pendidikan terutama dalam bidang pendidikan tinggi.

‘‘Saya berpuas hati dengan hasil lawatan ini (ke Australia). Saya lihat hubungan antara pegawai dan secara peribadi adalah sangat baik,” tambah beliau.
Kerajaan berharap untuk melaksanakan kaedah pemindahan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bagi menggalakkan pelajar Australia belajar di Malaysia sekurang-kurangnya selama satu semester, katanya.
‘‘Ini kerana bilangan pelajar Australia yang belajar di Malaysia terlalu kecil kira-kira 100 orang sahaja,” katanya.

Beliau juga melihat Australia sebagai rakan strategik bagi Malaysia, bukan sahaja dalam bidang perdagangan, tetapi juga dalam bidang pendidikan, pertahanan, jenayah antarabangsa, memerangi keganasan dan penyeludupan manusia.

Najib sebelum itu, menerima Ijazah Kehormat Persuratan Undang-undang daripada Universiti Monash di sini. – UTUSAN